Peranan menjaga kebersihan persekitaran adalah kewajipan setiap daripada kita sebagai ahli masyarakat bagi sama-sama memastikan setiap individu dan anak-anak di komuniti kejiranan kita selamat dari virus itu.
Bagi peringkat kerajaan pula, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan Program Kawalan Denggi terbaru melalui projek Aedes berWolbachia di beberapa kawasan terlibat yang mempunyai risiko denggi yang tinggi.
Program ini menggunakan nyamuk yang dijangkiti bakteria Wolbachia untuk menggantikan populasi nyamuk Aedes pembawa denggi, Zika dan Chikungunya di kawasan penempatan manusia.
Bakteria ini boleh didapati secara semulajadi dalam badan serangga termasuk nyamuk betina yang kemudiannya mewariskannya kepada anak nyamuk.
Wolbachia telah digunakan di sembilan buah negara untuk mengurangkan penyebaran penyakit. Strategi ini melibatkan pelepasan nyamuk Aedes jantan dan betina yang membawa bakteria selama 15 minggu ke lokasi terlibat.
Nyamuk-nyamuk ini akan mengawan dengan nyamuk lain yang tidak dijangkiti seterusnya menyebarkan bakteria Wolbachia kepada populasi tersebut seterusnya menyebabkan situasi berikut;
1. Apabila nyamuk berWolbachia jantan mengahwini nyamuk betina normal, ia boleh bertelur tetapi telur tersebut tidak akan menetas kerana ketidakcocokan sitoplasmik (Incompatibility Cytoplasmic).
2. Apabila pasangan nyamuk kedua-duanya dijangkiti Wolbachia, nyamuk betina akan mampu bertelur dan menetaskan anak nyamuk, namun generasi nyamuk itu akan menjadi pembawa Wolbachia. Virus lain seperti denggi dan Zika tidak akan dapat menjangkiti nyamuk pembawa kerana gangguan patogen (Pathogen Interference)
Selain itu, semburan kabus tetap boleh dijalankan seperti biasa sebelum dan semasa tempoh pelepasan. Apabila bakteria tersebut telah menjangkiti populasi nyamuk, ia akan terus berada di dalam kelompok berkenaan dalam tempoh masa yang lama.
Cara ini dikatakan merupakan cara kawalan bio yang selamat, semulajadi dan efektif untuk mengurangkan denggi, Zika dan Chikungunya tanpa melibatkan pengubahsuaian genetik.
Minta perhatian semua,— KKMPutrajaya (@KKMPutrajaya) July 15, 2019
Jika terjumpa dua bekas hitam ini di kawasan perumahan anda, tolong jaga dengan baik.
Ini projek kawalan denggi menggunakan Nyamuk Aedes berWolbachia.
Kepada ibu bapa, pastikan anak-anak tidak menyentuh dua bekas ini.
Ada Wolbachia, tiada denggi. pic.twitter.com/I3rxPEPpsG
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia, Wolbachia Malaysia