“Haiwan di dunia liar hanya mampu hidup di tempat yang telah diadaptasi oleh mereka. Mereka perlu mencari habitat betul yang mempunyai makanan dan ruang diperlukan spesies berkenaan,” tambah portal berkenaan.
Disebabkan inilah, hidupan di setiap negara mempunyai perbezaan yang tersendiri. Ketidakmampuan untuk beradaptasi di lokasi baru boleh menyebabkan kematian spesies berkenaan.
Baru-baru ini, Persatuan Haiwan Malaysia melaporkan penemuan seekor ikan gergasi dipercayai jenis Arapaima yang kebiasaannya ditemui di perairan Amazon, Brazil.
Ikan gergasi yang dijumpai di Bukit Padang, Kota Kinabalu itu dikhuatiri dibawa masuk ke negara ini melalui individu-individu tertentu yang meminati haiwan eksotik dari luar negara.
“Apa yang dikhuatiri spesis ikan invasif yang asalnya dibawa dari negara luar kini berada di perairan Malaysia mengganggu ekologi dan mengancam spesies ikan tempatan.
Kemusnahan spesis ikan tempatan akan berlaku sekiranya peminat ikan membawa ikan spesis ganas dan pemangsa dari luar dan tidak bertanggungjawab melepas ikan pemangsa sebegini ke sungai, tasik dan lombong dinegara ini apabila sudah tidak mampu memeliharanya lagi.
Menurut laman berkenaan, ikan ini boleh membahayakan bot kecil pemancing dan menerbalikkannya jika ia membesar ke saiz maksimum. Hal ini sudah tentu membahayakan orang ramai yang tidak mengetahui kewujudan spesies pengancam ini yang telah lama berada di tasik berkenaan.
“Kita berharap agar perairan laut negara kita tidak memiliki spesis Piranha ganas kemudian hari.”
Berikutan itu, Persatuan Haiwan Malaysia memohon kepada peminat hidupan akuatik agar bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan mereka yang dibawa dari luar.
Bagi peminat hidupan marin yang telahpun membawa spesies luar ke negara kita ataupun yang bercadang berbuat demikian, anda diminta untuk menghubungi Jabatan Perikanan Malaysia untuk mendapatkan khidmat nasihat dan pencegahan.
“Jangan lempar sewenang-wenangnya ikan yang sememangnya dilarang bawa masuk ke Malaysia di mana-mana perairan dalam negara,” kata jurucakap organisasi berkenaan.
Sumber: Persatuan Haiwan Malaysia