Wook Esah, 87, berkata antara perkara yang paling diingati pada zaman itu adalah berkaitan dengan bekalan makanan yang agak sukar diperoleh sehingga memaksa mereka memanfaatkan sepenuhnya hasil pertanian termasuk ubi kayu dalam menempuh pelaksanaan perintah berkurung pihak berkuasa.
“Rasanya semua orang tahu pokok ubi dan isi ubinya. Biasanya ubi dinikmati selepas dijadikan kerepek, direbus atau digoreng tetapi ramai yang tidak tahu yang kulit pada isi ubi berkenaan boleh juga dimakan.
“Ketika zaman pendudukan Jepun, kulit isi ubi ini tidak dibuang seperti sekarang ini dan ia menjadi salah satu hidangan utama kami, antaranya masak lemak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Wook lagi, dia juga pernah memasak buah betik muda, yang dimasak lemak untuk dijadikan lauk bagi hidangan mereka sekeluarga semasa pelaksanaan PKP ini.
Mengenangkan pengalaman itu, Wook berkata dia mengajar anak dan cucunya untuk memanfaatkan ‘sayur kampung’ termasuk kulit isi ubi yang menjadi ‘hidangan lazat’ ketika negara ini dijajah Jepun pada 1940-an.
Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini kata Wook, dia tidak pernah keluar dari kawasan kediamannya, dan cukup bersyukur kerana tinggal di kawasan kampung yang membolehkannya sekeluarga memanfaatkan sebidang tanah milikinya untuk bercucuk tanam termasuk menanam beberapa sayuran kampung dan buah-buahan.
“Kalau sebelum ini (zaman penjajah) musuh masa perintah berkurung dapat dilihat, tetapi sekarang musuh yang dihadapi lebih berbahaya kerana tidak kelihatan, dan saya sekeluarga akan patuh pada arahan PKP sehingga bebas sepenuhnya dari wabak COVID-19.
“Saya nak menasihatkan semua, inilah masanya untuk kita habiskan masa terluang bersama keluarga kerana sebelum ini ramai mungkin agak sibuk dengan hal masing-masing,” katanya yang tinggal bersama anak, menantu dan tiga cucunya.
Menurut Wook sepanjang PKP ini tidaklah terlalu susah untuk mendapatkan bekalan makanan berbanding musim perintah berkurung zaman penjajahan dahulu kerana pergerakan sahaja terbatas tetapi sumber makanan masih mudah diperoleh.
Sumber: BERNAMA