Tiada rotan akar pun berguna
Poon Lim adalah satu-satunya lelaki dari 53 orang yang terselamat dalam serangan itu. Poon Lim bernasib baik kerana sempat mengambil satu jaket keselamatan kerana dia sememangnya tidak pandai berenang. Selepas kira-kira 2 jam terapung di air, dia ternampak sebuah rakit keselamatan (dipercayai milik kapal Ben Lomond yang dinaikinya).
Rakit kayu itu mempunyai beberapa tin biskut, sebotol air 40 liter, coklat, sebungkus gula pasir, beberapa suar, dua periuk dan lampu suluh. Poon Lim pada mulanya bergantung hidup dengan meminum air dan memakan makanan yang ada di rakit tersebut, tetapi kemudiannya terpaksa memancing dan menadah air hujan dengan kanvas.
Dia tidak pandai berenang dengan baik dan akan mengikat tali dari rakit ke pergelangan tangannya sebagai langkah keselamatan sekiranya dia jatuh ke laut. Dia mengambil wayar dari lampu suluh dan membuatnya menjadi cangkuk ikan, dan menggunakan tali rami sebagai tali pancing.
Dia juga mencabut paku dari papan di rakit kayu dan membengkokkannya untuk dijadikan sebagai cangkuk untuk menangkap ikan yang lebih besar. Apabila dia menangkap seekor ikan, dia akan memotongnya dengan pisau yang diperbuat dari tin biskut dan mengeringkannya di atas rakit agar tahan lama.
Pernah menangkap ikan jerung
Pernah suatu ketika, ribut besar melanda dan merosakkan ikan dan mengotori airnya. Poon Lim yang ketika itu dalam kelemahan, berjaya menangkap burung dan meminum darahnya untuk terus hidup.
Sekiranya terlihat jerung, dia tidak akan turun berenang. Sebaliknya, dia akan merancang untuk menangkap ikan tersebut. Dia menggunakan bahagian tersisa burung yang dibunuhnya sebagai umpan. Teknik tersebut berjaya apabila jerung tersebut memakan umpan tersebut. Lim Poon meletakkan tangannya di bawah kain kanvas sebelum berjaya menangkap jerung tersebut.
Di atas rakit, jerung itu telah menyerangnya jadi dia menggunakan bekas air yang diisi separuh dengan air laut sebagai senjata. Setelah menundukkan jerung itu, Poon Lim memotongnya dan menyedut darah dari hati jerung tersebut. Ketika itu, hujan tidak turun sudah berhari-hari dan dia kehabisan air. Maka, darah tersebut telah menghilangkan dahaganya.
Dia kemudian menghiris siripnya dan membiarkannya kering di bawah sinar matahari untuk membunuh kuman-kuman padanya dan memastikan lebihan daging ikan tersebut boleh bertahan lebih lama.
Diselamatkan oleh nelayan Brazil
Di atas rakit tersebut, Poon Lim mendapat sunburn, mabuk laut dan penderitaan menonton kapal berlalu pergi tanpa mahu menyelamatkannya. Kapal pengangkut kapal terbang dan kemudian pasukan rondaan Tentera Laut AS pernah melintas namun Poon Lim berpendapat bahawa kerana dia orang Cina, mereka tidak menawarkan bantuan.
Malah, dia turut mengatakan bahawa kapal U-Boat Jerman juga pernah datang berhampiran dengan rakit yang menjadi tempat tinggalnya, tetapi tidak menawarkan sebarang bantuan padanya.
Poon Lim menghitung hari-harinya dengan mengikat simpul dengan tali, tetapi setelah menghabiskan begitu lama di laut dia memutuskan bahawa tidak ada gunanya menghitung hari dan mula menghitung bulan penuh. Namun, setelah 133 hari di laut, 3 nelayan Brazil akhirnya menemui rakit itu dan menyelamatkannya.
Dia telah kehilangan berat badan sebanyak 9kg dan menghabiskan empat minggu di hospital tetapi berjaya pulih sepenuhnya. Hingga hari ini tidak ada mana-mana individu yang menghabiskan masa lebih lama di laut di rakit sepertinya. Seperti yang dikatakan Poon Lim dalam catatannya sebelum kematiannya, "Saya harap tidak ada yang harus memecahkannya".
Raja George VI telah menganugerahkan British Empire Medal (BEM) kepadanya dan Tentera Laut Diraja memasukkan kisahnya ke dalam manual teknik bertahan hidup.
Selepas perang, Poon Lim memutuskan untuk berhijrah ke Amerika Syarikat, tetapi kuota untuk pendatang Cina telah tercapai. Namun, kerana kemasyhurannya dan bantuan Senator Warren Magnuson, dia mendapat kelulusan khas dan akhirnya memperoleh kewarganegaraan Amerika Syarikat.