Kapal selam tentera Indonesia, KRI Nanggala 402, ditemui pecah di dasar laut di perairan Bali dengan kesemua 53 kru disahkan meninggal dunia.
Ketua Ketua Turus Tentera Laut Indonesia, Yudo Margono, mengesahkan serpihan kapal selam yang hilang Rabu lalu itu ditemui pecah kepada tiga bahagian.
Ketua Tentera Indonesia, Hadi Tjahjanto, mengesahkan kepada wartawan bahawa kesemua 53 kru kapal selam berkenaan sudah meninggal dunia.
Pihak berkuasa berkata mereka menerima isyarat dari lokasi pada kedalaman lebih 800 meter awal pagi tadi dan menggunakan kapal selam penyelamat milik Singapura bagi mendapatkan pengesahan visual.
Tjahjanto berkata lebih banyak serpihan kapal selam KRI Nanggala 402 ditemui hari ini termasuk sebuah sauh dan sut keselamatan dipakai oleh kru.
Semalam, Tentera Laut Indonesia memaklumkan penemuan serpihan daripada kapal selam itu, termasuk barangan dari dalam aset itu, lalu mengesahkan ia tenggelam dan mengakhiri harapan menemui individu yang terselamat.
Antara barangan ditemui termasuklah serpihan sistem torpedo, sebotol minyak pelincir periskop serta sejadah yang digunakan untuk solat.-foto EPA