Saluran Astro Warna meneruskan penerbitan program realiti komedi, Muzikal Lawak Superstar untuk musim yang ke 3 (MLS3).
Menyatukan elemen muzik, lakonan dan komedi yang disampaikan oleh kombinasi penyanyi, pelawak, pelakon serta personaliti media sosial, MLS3 hadir dengan tema lawak berelemenkan rumpun Melayu yang menjadi nadi penganjuran edisi ini.
Konsep
Musim ketiga menyaksikan persaingan sengit antara 12 kumpulan yang terdiri daripada kombinasi pelawak, selebriti serta KOLs di pentas pertandingan komedi muzikal yang dilangsungkan secara mingguan.
Tugasan persembahan adalah berdasarkan lokasi yang mencabar kreativiti peserta untuk menyediakan persembahan dengan apa juga jalan cerita selagi penceritaan sketsa mereka bersesuaian dengan latar lokasi yang ditetapkan.
Pemenang mingguan layak untuk memilih Mystery Reward termasuk pemilihan live props, giliran persembahan, satu star advance dan giliran komen daripada juri.
Sementara kumpulan yang menghuni kedudukan bottom 3 pula dikehendaki melaksanakan persembahan lagu denda yang ditetapkan.
Juri bakal memberi komen dan ‘star’ (bintang) untuk persembahan mereka dengan bintang maksimum sebanyak lima bagi setiap persembahan.
Kumpulan yang menerima markah terendah pada setiap minggu akan tersingkir.
Peserta
Kali ini, MLS tampil berbeza kerana pihak produksi juga membawakan peserta-peserta berbakat daripada kalangan KOLs ataupun personaliti media sosial yang mengambil bahagian sebagai peserta.
Penganjuran MLS3 juga turut membuka ruang perkongsian bakat ke peringkat antarabangsa kepada penyertaan barisan bintang komedi dari luar negara iaitu Indonesia dan Jepun.
Untuk senarai penuh nama kumpulan dan anggota yang bertanding, baca artikel: Senarai Peserta Muzikal Lawak Superstar 2022 (Musim 3) Astro Warna
Juri Tetap
Tiga figura terkenal iaitu Dato’ Awie, Siti Saleha dan Najip Ali diundang pada setiap episod untuk menduduki kerusi juri tetap bagi menjurikan pertandingan dengan ulasan komen di hujung persembahan.
Format Penjurian
Format pemarkahan adalah 50% terletak di tangan juri profesional, manakala 50% lagi pemberian markah berpandukan undian yang dilakukan oleh penonton secara dalam talian.
Berdasarkan jumlah keseluruhan, peserta yang menerima markah tercorot pada setiap minggu akan disingkirkan.
Cara Undi
Setiap pengundi akan menerima 20 kredit untuk mengundi bermula dari hari Sabtu hingga Khamis. Manakala 50 lagi kredit akan diberikan pada hari Jumaat. Undian boleh dilakukan di laman web rasmi www.gempak.com/muzikallawaksuperstar.
Hadiah
Habuan wang tunai RM150,000 menanti juara di peringkat akhir kelak, diikuti RM75,000 buat naib juara dan RM50,000 untuk pemenang tempat ketiga.
Manakala finalis di kedudukan keempat pula bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM25,000.
Kesemua mereka juga akan dikurniakan sebuah trofi.
Penaja
Penerbitan ‘MLS3’ disokong oleh Oppo yang tampil sebagai Penaja Utama.
Pengacara
Hos versatil, Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengendalikan pentas ‘Muzikal Lawak Superstar’ selaku pengacara utama, bersama gandingan seorang hos baharu yang akan didedahkan secara eksklusif pada konsert pertama kelak.
MLS3 Live+ pula mengetengahkan pasangan hos Jiggy dan Elly Arifin yang bersiaran secara digital di laman sosial Facebook serta YouTube Astro Gempak.
Pengarah Muzik
Shah Nizam atau dikenali sebagai Shah Slam membawa peranan sebagai Pengarah Muzik akan membantu persembahan mingguan peserta dengan mengiringi mereka secara ‘live’.
Waktu Siaran
Muzikal Lawak Superstar musim ke-3 (MLS3) bakal disiarkan selama 10 minggu berturut-turut dibawakan secara langsung dari Dewan Sri Putra Bukit Jalil untuk tayangan Astro Warna (saluran 107) pada setiap hari Jumaat, pukul 9 malam bermula 22 Julai 2022.
Tontonan online untuk pilihan yang lebih fleksibel, MLS3 boleh diakses melalui aplikasi Astro Go dan perkhidmatan ‘on demand’ menerusi Astro Box.
Untuk pengisian di platform digital, saksikan MLS3 Live+ secara eksklusif di laman Facebook serta saluran YouTube Astro Gempak yang dijadualkan pada setiap hari Jumaat, jam 8.30 malam.