Pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta menyifatkan sifat berlagak ketika berduit
tidak harusnya dilemparkan kepada golongan wanita sahaja.
Menurutnya, sikap berlagak tidak hanya tertakluk terhadap golongan wanita
kerana kaum lelaki turut mempunyai sifat sedemikian sekiranya mempunyai duit
yang berlebihan.
“Ada (perempuan) yang berlagak, mungkin sebab dari pengalaman mereka.
“Tidak payah perempuan pun, kalau lelaki gaji banyak sikit, terus bertaring.
“Saya rasa tidak kira lelaki atau perempuan, kalau ada duit lebih memang
akan berlagak,” katanya kepada Hib Glam baru-baru ini.
Dia berkata demikian bagi mengulas kenyataan aktor Datuk Rosyam Nor yang
melabel segelintir golongan wanita lebih ego apabila memiliki duit sendiri.
Dalam masa sama, untuk mengelak daripada dilabel sebagai berlagak, Che Ta
memberitahu setiap individu harus bijak mengawal diri dan emosi.
“Okeylah kalau ada duit berlagak, yang tiada duit berlagak pula macam mana?
“Jadi, saya rasa yang berlagak bila ada duit tidak bergantung kepada
jantina. Bila ada duit, tak kira siapa pun, akan berlagak.
“Semua orang berduit dan perlu belajar kawal diri,” ujarnya.
Baru-baru ini, Rosyam menyifatkan wanita yang bekerjaya dan memiliki
pendapatan lebih daripada lelaki akan memiliki sifat angkuh dan ego.
Rosyam juga berpendapat sikap ego berkenaan juga menyebabkan masalah dan
keretakan rumah tangga.