Kejayaan dalam sesebuah organisasi pastinya ada beberapa kumpulan sokongan
yang memastikan segala pentadbiran berjalan dengan lancar. Sekecil-kecil
jawatan, individu itu la yang menjadi tulang belakang sesebuah organisasi.
Kebiasaannya, individu sebegini tidak sering didendang tetapi jika ada
majlis atau program besar-besaran individu ini lah yang banyak membantu
dalam pelbagai sudut.
Inisiatif yang telah dilakukan oleh sebuah sekolah SMK Sultan Salahuddin
Abdul Aziz ini wajar dipuji. Mereka memilih untuk menyampaikan anugerah
kepada pekerja pembersihan yang mesra dipanggil uncle.
Anugerah tersebut disampaikan ketika majlis penutup Hari Merdeka.
Sebaik sahaja nama uncle tersebut dipanggil, kedengaran jeritan para pelajar
memanggil nama uncle berulang kali. Kelihatan juga, warga emas itu sempat
mengutip sampah di tepi tangga pentas lalu memasukkan ke dalam poket
seluarnya sebelum naik ke pentas.
Menerusi perkongsian di TikTok itu, individu tersebut dikatakan sangat rajin
dan mudah apabila meminta bantuannya. Oleh kerana sifat yang ditonjolkan
itu, dia disayangi oleh semua.
“Seronok dia dapat anugerah. Terima kasih sebab banyak bantu sekolah,”
tulisnya.
Rata-rata netizen memuji penghargaan yang diberikan oleh pihak sekolah
kepada pekerja itu. Secara tidak langsung kata netizen, penghargaan ini
juga mengajar para pelajar untuk menghormati insan-insan di belakang tabir
ini.
sumber: @brader_bear